Rangkai-Rangkai Periuk (Bahasa Melayu)

Permainan Rangkai-Rangkai Periuk merupakan salah satu permainan tradisional yang hampir dilupakan. Permainan ini sangat menyeronokkan!

TEMPAT

Di kawasan lapang, di dalam atau di luar rumah.

PERALATAN

Tiada peralatan kecuali anggota badan pemain.

PEMAIN

Memerlukan sekurang-kurangnya 3 orang pemain.

CARA BERMAIN

  1. Permainan ini dimulakan dengan 2 orang pemain, A dan B, yang akan merangkai tangan antara satu sama lain.
  2. Tangan kiri pemain A diluruskan ke hadapan, manakala tangan kanannya pula dilipat dengan memegang siku tangan kirinya. Begitu juga untuk pemain B. Kemudian, tangan kiri pemain A akan memegang siku tangan kanan pemain B dan begitu juga B akan memegang siku tangan kanan pemain A menggunakan tangan kirinya.
  3. Apabila pemain A dan B sudah sedia, pemain ketiga, C akan duduk di rangkaian tangan pemain A dan B.
  4. Semua pemain akan menyanyikan sebuah lagu berlirikkan permainan ini:

    Rangkai-rangkai periuk,
    Periuk dari Jawa,
    Sumbing sedikit terantuk tiang para,
    O … Jabut … pergi menjala,
    Dapat ikan patung seekor,
    Sembo ke api menyala,
    O … adik rumah kita nak runtuh,
    Cap … Cap … Ghrummmmmm …

  5. Sebaik sahaja lirik yang terahir dinyanyikan, pemain A dan B akan membuka rangkaian tangan mereka sambil menggayakan keadaan rumah yang hendak roboh.

PERATURAN

  1. Permainan ini mesti dimainkan oleh 3 orang pemain.
  2. Pemain tidak dibenarkan merungkai tangan sebelum lagu habis dinyanyikan.
  3. Permainan boleh diulang beberapa kali.